Mar 18, 2011

Muktamar Bukan Pasar Borong




Surat Terbuka buat Semua : [Surat yang sama pernah saya layangkan menjelang muktamar sebelum ini. Saya layangkan sekali lagi buat renungan dan perhatian semua khasnya adik - adikku pemuda sekelian.]
1. Saya terlebih dahulu mengucapkan selamat bermuktamar atau mesyuarat agong kepada semua ahli PAS di seluruh negara yang kini sedang menghadapi musim muktamar di peringkat cawangan , kawasan dan dewan – dewan sebelum berlangsungnya muktamar penuh pada awal bulan June kelak . Semoga muktamar atau mesyuarat agong pada sessi ini berlangsung dalam suasana yang memberangsangkan ke arah membina reputasi parti yang hebat . Penuh dengan analisis dan post mortem yang jujur dan telus serta lontaran idea yang bernas dari perwakilan .
2. Apa yang lebih penting muktamar atau mesyuarat agong kali ini adalah peluang buat ahli memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti diperingkat masing – masing.
Persediaan Muktamar .
3. Muktamar merupakan medan buat pemimpin dan anggota parti menilai pencapaian semalam guna merangka strategi di hari esok . Kita diajar oleh Allah swt. sebagai seorang pejuang yang muttaqin pada hari ini agar senantiasa menghubungkan pencapaian semalam dengan langkahan yang akan dimulakan esok. Firman Allah swt .
يا ايها الذين آمنوا اتقوا الله و لتنظر نفس ما قدمت لغد و اتقوا الله إن الله خبير بما تعملون
Wahai orang – orang yang beriman , bertaqwalah kepada Allah dan lihatlah apa yang telah dilakukan semalam untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah , sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.
Surah al Hasyr. Ayat : 18
4. Justeru itu , sangat tidak wajar muktamar dibiarkan berlangsung suram dan hambar tanpa perbahasan yang mantap dan bernas hasil lontaran idea yang kritis dan dinamis . Persediaan muktamar jangan hanya dilihat kepada penyediaan dokumen muktamar seperti minit , bag , name tag dan sebagainya tetapi mesti lebih ditumpukan kepada penyediaan idea yang mengandungi agenda dan objektif , menepati misi dan visi perjuangan kita untuk dilontarkan kepada parti di dalam sidang muktamar.
5. Saya secara kebetulan sering juga dijemput merasmikan mesyuarat agong PAS cawangan malah juga PAS kawasan demikian juga dewan – dewan . Apa yang saya lihat , masih banyak cawangan , kawasan dan dewan yang gagal menepati erti mesyuarat agong atau muktamar yang sebenar . Mereka hanya sekadar membentang dan mengesahkan minit kemudian tergesa – gesa untuk pulang .
6. Mesyuarat agong itu berlangsung hampir sama dengan mesyuarat bulanan mereka , kecuali yang membezakan antara keduanya hanya pada majlis perasmian di mana mesyuarat agong ada perasmi yang diundang dari saf kepimpinan parti dan pemilihan saf kepimpinan yang baru pada sessi mesyuarat agong yang ada pemilihan.
7. Fenomena ini tidak harus dibiarkan kekal tanpa penarafan semula terhadap standard muktamar atau mesyuarat agong tersebut. Sementelah pula kita berada di era globalisasi yang menyajikan pelbagai cabaran dan tentangan. Mahu atau tidak , muktamar mesti hidup dengan menjana tenaga dan menggarap idea anggota parti agar menghasilkan satu gerakan yang hebat dan berkeupayaan tinggi mendepani segala cabaran dan menyerap segala tekanan.
Muhasabah dan analisa .
8. Muktamar jua ibarat makmal untuk melakukan bedah siasat terhadap aktiviti dan perjalanan parti secara telus dan jujur . Tidak menyembunyikan fakta apatah lagi menyelewengkannya. Pemimpin dan anggota pula mesti berdada lapang dan bersikap mendengar pandangan dan cadangan serta teguran dan kritikan membina dari dua hala lalu mengikut apa yang terbaik daripadanya. Firman Allah swt.
الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنة أولئك الذين هداهم الله و أولئك هم أولوا الألباب
Orang – orang yang mendengar perkataan lalu ia mengikut apa yang terbaik , mereka adalah orang – orang yang Allah berikan petunjuk dan mereka adalah orang yang memiliki daya intelektual .
Surah az – Zumar . Ayat : 18
9. Perwakilan sayugianya jua mempunyai daya menganalisa yang baik terhadap perjalanan parti dan dibahas pula secara matang dan positif . Amat malang perwakilan yang menghadhiri muktamar tanpa sebarang analisa terhadap perjalanan parti serta tidak pula mengetahui apa yang patut dibahas dan dibincang. Pendek kata , mereka hadhir dengan kepala kosong sekadar memenuhi kouta perwakilan .
10. Hasilnya , cawangan, kawasan dan dewan akan terus statik tanpa sebarang anjakan paradigma yang menepati zuruf dan perkembangan pemikiran masyarakat dewasa kini , malah cawangan dan kawasan tersebut dilihat ketinggalan bahkan usang berbanding zaman yang sedang mereka harungi .
Muktamar bukan Pasar Borong .
11. Saya ingin tegaskan di sini , bersesuaian pula dengan muktamar kali ini adalah sessi pemilihan saf kepimpinan , agar perwakilan masak dan matang dalam mengambil sikap memilih pemimpin . Hindarkan pemilihan secara rambang tanpa menilai kemampuan dan kelayakan individu yang dipilih dan terlebih patut dihindari sebarang bentuk lobi – melobi yang negatif . Neraca pertimbangan para perwakilan dalam memilih pemimpin mestilah sensitif dan peka terhadap :
* keperluan jamaah dan
* tuntutan ummah jua mengambil kira
* kredebiliti pemimpin yang dipilih .
Firman Allah swt.
إن خير من استئجرت القوي الأمين
Sesungguhnya , sebaik – baik orang yang engkau berikan tugas adalah orang berkemampuan dan amanah .
Surah al Qasas . Ayat : 26
12. Memilih secara borong dan tangkap muat adalah trend yang mesti dielakkan dari terus mewarnai sikap kita memilih pemimpin di pelbagai peringkat parti. Parti mestilah dibentuk dengan segala kemantapan dan kehebatan yang melibatkan struktur organisasi , karisma kepimpinan , kualiti anggota dan nilai aktiviti .
Perbaiki kelemahan Pasakkan Kehebatan .
13. Saban tahun , kita berhimpun dalam pertemuan tahunan yang disebut sebagai mesyuarat agong atau muktamar untuk mengesan kelemahan dan membina kekuatan . Kelemahan tidak dikesan untuk kita saling salah menyalah dan tuding menuding antara satu sama lain , tetapi ianya dikesan untuk diatasi dan diperbaiki serta diinsafi agar kelemahan dan kepincangan bukan sahaja tidak dibiarkan tetapi dipastikan agar ianya tidak berulang lagi.
14. Semua pihak dikalangan kita bertanggungjawab menginsafi perkara ini. Jadikan kelemahan sebagai peluang memperkasa parti dan cermin menilai diri bukan orang lain . Sebab itulah , saya harap kita tidak memusuhi kelemahan sebaliknya tangani kelemahan tersebut dengan tenang dan berhemah . Kelemahan tidak menjadikan kita panik dan tergugat apalagi kecewa , sebaliknya tanggapilah ia sebagai peluang kedua untuk kita bangkit menaikkan taraf prestasi kita dalam perjuangan suci ini . Kelemahan bukan dihukum tetapi dibaiki sementara kehebatan pula bukan dinanti tetapi dicari .
” Kabinet “ Pilihanraya
15. Seperkara yang saya ingin ingatkan di sini , bahawa mesyuarat agong atau muktamar kali ini adalah bagi membentuk kabinet yang bakal menghadapi pilihanraya umum ke 13 . Nota ini tidak boleh dipandang ringan melainkan skima pemilihan mestilah benar – benar kepada mereka yang layak dan sesuai dengan cabaran sessi yang dihadapi dan mereka pula mampu menjadi pelapis kepimpinan masa depan yang pastinya menjanjikan cabaran yang lebih sengit dan getir.
16. Lantaran itu , pencalonan dan pemilihan mesti melalui proses pengamatan dan penelitian yang serius . Dalam erti kata lain , kepentingan perjuangan dan parti sebagai platformnya mestilah dijadikan asas rujukan ketika meletak nilai kepada individu yang bakal dipilih sebagai pemimpin . Rasa simpati , kecenderungan ” kroni ” , hebat berceramah , pengaruh peribadi dan sebagainya tidak wajar dijadikan sistem nilai dalam memilih pemimpin.
فإذا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قال كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قال إذا وُسِّدَ الْأَمْرُ إلى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
Apabila berlaku penyelewengan amanah , maka tunggulah saat kehancurannya . Lalu sahabat bertanya , bagaimana penyelewengan itu ? Rasulullah saw bersabda : Apabila diserahkan tugas kepada mereka yang tidak layak maka tunggulah saat binasanya .
Riwayat Imam Bukhari di dalam sohihnya. Jilid 1 / Muka surat 33 . Kitabul ilmi .
Kewajipan Memilih Pemimpin .
* Kewajipan kita memilih pemimpin yang layak dan mampu bekerja atau berjuang dengan ” tangan ” bukan hanya bekerja dan berjuang dengan ” mulut ” .
* Kewajipan kita memilih memimpin yang membawa prinsip perjuangan Islam tulen , bukan mereka yang membawa agenda peribadi , apalagi membawa ideologi yang asing daripada perjuangan Islam .
* Kewajipan kita memilih pemimpin yang jelas aqidah ahli sunnah wal jamaah , bukan mereka yang menganut fahaman sekular , syiah atau apa jua fahaman yang menyeleweng dari ahli sunnah wal jamaah .
* Kewajipan kita memilih pemimpin yang muttaqin dan faham objektif serta matlamat perjuangan suci ini. Bukan hanya dilihat melalui karisma politiknya tetapi juga wibawanya sebagai seorang mujahid yang berjuang untuk menegakkan Islam secara syumul.
* Kewajipan kita memilih pemimpin yang mengambil skima pentarbiyyah parti sebagai sebuah gerakan Islam dan memiliki syaksiyyah qiadiyyah yang soleh .
* Kewajipan kita memilih pemimpin yang mempunyai semangat waja dan tenaga gigih untuk berjuang mendepani cabaran luaran mahupun dalaman sehingga Islam dapat dijulang dengan jayanya.
Surat terbuka ini …..
17. Akhirnya saya tujukan surat terbuka ini buat semua pemimpin dan anggota parti dipelbagai peringkat sebagai peringatan termasuk diri saya yang amat dhaif ini. Semoga muktamar kita melahirkan satu lonjakan dan rangsangan berjuang yang kian hebat dari semalam .
18. Mencetus gelombang kebangkitan dalaman parti , mengejutkan yang alpa dan membangunkan yang masih lena untuk segera meluru mengambil posisi masing – masing dalam menunai amanah besar perjuangan mulia ini .
19. Saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan selamat bermesyuarat agong dan selamat bermuktamar buat seluruh warga pejuang Islam yang menjadikan PAS ini sebagai platform berjuang.
20. Selamat berjuang. Tahun ini adalah tahun 2011 : Masa Untuk Berubah. Insyalllah PAS Bersedia Ganti UMNO. Justeru itu, tunggu apalagi, Ubah Sekarang, Kita Selamatkan Malaysia .
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Kemana Proton selepas AFTA 2015? - Dr Dzukefly Ahmad


Sekali lagi persoalan keisiapsagaan negara khususnya kereta nasional Proton dan Perodua menjadi satu yang dipertikaikan. Persoalan besar rakyat yang menantikan jawapan dari kerajaan masih tidak lagi terjawab.

Umum tahu bagaimana selama ini kerajaan telah melindung kereta nasional dengan mengenakan regim tarif dan eksais yang tinggi atas kereta-kereta impot dan tempatan sehingga harga kereta-kereta impot termasuk kereta nasional kita contohnya model Waja tempatan adalah dua kali ganda berbanding di saudi Arabia.

Perlindungan itu juga datang dalam bentuk grant R&D dari kerajaan. Tinjauan laporan kewangan untuk tiga tahun mutakhir PROTON mendapati bahawa andainya tidak dibantu dengan pemberian grant, maka PROTON akan berada dalam defisit dan kerugian (in the red).

Dalam tahun 2008, laporan tahunan menyebutkan keuntungan bersih (nett profit) sebanyak RM184.5 juta tetapi melaporkan juga tentang grant R&D dari kerajaan sebanyak RM193.7juta. Kalau tidak tentunya rugi sebanyak RM9.2 juta.

Tahun 2009 melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM301.8 juta. Gran R&D diberikan sebanyak RM80.7 juta. Tahun 2010 melaporkan keuntungan bersih RM289 juta tetapi dalam waktu yang sama mendapat gran R&D sebanyak RM143 juta yakni setengah dari keuntungan bersihnya.

Kerajaan diingatkan bahawa negara-negara jiran telah pun besiap dengan pelbagai pendekatan. Malaysia sehingga kini masih belum nampak bersedia.


Thailand contohnya, akan meningkatkan dan bakal mengeluarkan sebanyak 3 juta unit kereta dalam tahun 2015. 2 juta adalah keperluan ekspot dan 1 juta unutk keperluan domestik. Terdapat 7 syarikat antarabangsa – 2 dari Amerika Syarikat (Ford dan General Motor) dan 5 dari Jepun (Toyota, Nissan, Mitsubishi, Honda dan Isuzu). Mereka jelas memilikki dayasaing dan berjaya mendapat penglibatan pengeluar-pengeluar besar automobil antarabangsa.

Begitu juga Indonesia yang telah merangka langkah-langkah konkrit untuk berdepan dengan persaingan yang lebih sengit selepas penguatkuasaan AFTA nanti. Indonesia akan meningkatkan pengeluaran mereka sebanyak 2 juta unit – 1juta untuk ekspot dan 1juta untuk keperluan domestik.

Perlu diketahui bahawa peningkatan ini dipacu sebagai pemangkin utamanya oleh SMEs dari negara Jepun dan bukan syarikat-syarikat besarnya seperti yang disebut tadi. Jelasnya Indonesia juga telah berjaya mengamit pelaburan dari SMEs dari Jepun sekaligus membuktikan bahawa mereka lebih ’kompetitif’ atau berdaya saing berbanding kita sendiri.

Persoalan besar dan strategik yang menjadi kritikal kepada kereta nasional sekarang ini adalah tergantung kepada faktor ’economy of scale’ atau faktor ’skala ekonomi’. Persaingan selepas penguatkuasaan AFTA pada tahun 2015 tidak lagi akan mengizinkan kereta nasional dilindungi dengan dasar ”Protectionism” samada dengan kaedah Tariff dan Eksais mahupun pemeberian gran termasuk pelbagai lagi cara.

Saya juga menyedari akan usaha kerajaan meningkatkan daya saing pengeluar komponen dan alat ganti serta meningkatkan sumbangannya dalam industri automotif dan ekonomi, dana Pembangunan Automotif (ADF) dan Dana Penyelarasan Industri (IAF) akan diteruskan.

Namun persoalan besar sehingga kini adalah kegagalan Proton mendapatkan rakan strategik yang sekaligus akan mampu melonjakkan sektor automobil ini menjana ’skala ekonomi’ atau economy of scale’ dengan memenafaatkan keupayaan teknologi ’niche’ rakan strategiknya seperti kereta elektrik contohnya, serta rangkaian pasaran yang lebih luas dan ’branding’ global rakan berkenaan..

Malaysia diingatakan bahawa kita hanya mampu menjual sejumalah 620,000 unit tahun lalu. Tuntutan ’economy of scale’ menuntut supaya kita mengeluarkan paling tidaknya 10,000 unit sebulan. Kalau benar-benar kita mahu mendayasaingkan kereta nasional kita selepas AFTA 2015, maka tidak ada caranya untuk kita lakukan kecuali dengan mendapatkan rakan strategikyang hebat sekaligus menyelamatkan 250 syarikat vendor dan ’dealers’ dalam sektor automobil nasional ini.

Berdepan dengan penguatkuasaan AFTA, saya dari PAS dan Pakatan Rakyat, tidak nampak kerajaan mengambil langkah-langkah konkrit ke arah mendepani cabaran AFTA-2015 dan menggesa kerajaan supaya memberi fokas kepada penyelesaian ini termasuk menganjurkan kaedah ”Merger dan Acquisition” samada di antara Proton dan Perodua serta juag di antara syarikat vendors dan dealers bagi meningkatkan dayasaing dalam matlamat rasionalisasi dan konsolidasi.

Dr Dzulkefly Ahmad
Ahli Parlimen Kuala Selangor

Mar 13, 2011

PRK Kerdau: BN kuat atau PAS yang lemah?


Posted by DPP Kaw. Kuala Krau | 5:58 AM | , | 0 comments » 1. Keputusan PRK DUN Kerdau telahpun diketahui, dan media telah melaporkan bagaimana BN meraikan kemenangan tersebut dengan penuh gaya. PAS merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN yang telah berjaya.

2. Kini beliau menggalas amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, semoga dengan kuasa yang ada beliau mampu melaksanakan amanah ini. Rakyat akan menilai hal ini dan peranannya yang tentunya berbeza dengan wakil rakyat yang bukan dari aliran agama.

3. Kekalahan PAS dalam PRK Kerdau sememangnya telah dijangka, memandangkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kerusi yang telah dimenangi BN bilamana jentera kerajaan sepenuhnya diturunkan bagi memastikan kemenangan bergaya di negeri PM.

4. Hakikat ini dapat dilihat bilamana PM dan Isteri turut sama berkempen dengan peristiharan jutaan ringgit bakal diturunkan bagi kawasan DUN Kerdau.


Analisa Keputusan

5. Secara asasnya ada sesuatu yang agak menarik dalam keputusan PRK ini, bilamana undi PAS secara keseluruhannya merosot sebanyak 184 undi atau -7.3%, dan undi BN meningkat sebanyak 925 undi atau +22.4% Peningkatan undi BN hasil dari peningkatan peratus keluar mengundi sebanyak 3%.

6. PAS mendapat peningkatan undi di semua kawasan Felda, walaupun mereka dijanjikan dengan pelbagai wang MPOB, dan SES berjumlah RM13,000 dan RM4,000 seorang. Keadaan ini membayangkan PAS mempunyai masa depan yang agak baik di kawasan Felda, yang dianggap lubuk Umno.

7. Peningkatan undi di Felda Jengka 22 sebanyak 28.2%, di Jengka 23 meningkat sebanyak 8.0% dan di Jengka 25 pula meningkat 4.9%. Kejayaan ini boleh dianggap kemenangan bagi perjuangan Anak yang mula diterima oleh masyarakat Felda, walaupun sebahagian mereka bersama anak dalam membuat tuntutan tetapi mempunyai pandangan politik yang berbeza.

8. Hakikat ini dapat dilihat dari kehadiran ratusan pemuda khususnya generasi kedua dalam program anjuran Anak dan penyertaan mereka dalam Anak.

9. Penghargaan juga harus diberi kepada PKR yang menumpukan gerakerja mereka di kawasan Felda bersama dengan jentera PAS dari Kelantan, Kedah dan Pahang.

10. Di Kawasan Felcra Rumpun Makmur sokongan kepada PAS merosot sebanyak -4.2%. Hal ini berkemungkinan dari tumpuan jentera Felca seluruh negara dengan pelbagai ugutan kepada peserta Felcra.

11. Walau bagaimana pun PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba. Kelemahan yang ketara di Unit Peti Undi berpunca dari kelemahan jentera di cawagan yang gagal berfungsi dengan baik, sehingga ada cawangan yang tidak bergerak dan terpaksa dibantu oleh tenaga luar.

12. Kelemahan ini akan dapat diatasi dalam PRK, namum bilamana menghadapi PRU, suasananya tentu berbeza bila tenaga tempatan adalah penggerak utama. Diharap dengan PRK ini beberapa kelemahan dapat dikenalpasti dan di ambil tindakan segera, bagi menghadapi PRU akan datang.

13. Kini Kerdau mulai sunyi sepi, dan jalan-jalan yang diturap separuh siap, terus menanti curahan tar bagi menyiapkannya, namun apakah ianya akan terus kekal begini. Rumah-rumah buruk, kedai yang terbiar, projek perumahan yang terbengkalai dan sekolah agama yang tidak mendapat perhatian dan pelbagai gambaran tertinggalnya Kerdau dari pembangunan.

14. Apakah bandar Kerdau akan terus menjadi “bandar Kerbau”. Sama-sama kita tunggu.

Oleh Al Fadhil Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
Pengarah Pilihanraya N 28 DUN Kerdau

Mar 2, 2011

Panas: Tamparan Cukup Hebat Buat UMNO BN Di Kerdau, Pengasas Serta 'Bekas Ketua UMNO' Felda Jengka 25 Bertindak Keluar UMNO Dan Sertai PAS



KERDAU, 2 Mac [1.45 pm] - UMNO Barisan Nasional menerima tamparan cukup hebat apabila bekas Ketua UMNO Cawangan Jengka 25, Muzamil Mualif (foto), 51, dekat sini mengisytiharkan keluar parti itu malam tadi. Beliau berbuat demikian kerana kecewa dengan permainan politik Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang cuba memperbodohkan warga peneroka dalam isu potongan bayaran balik bantuan tanaman semula (SES). Ketika mengumumkan perkara itu baru-baru Najib dengan bangganya memberi tiga pilihan kepada peneroka berhubung dengan isu itu. Menurut Najib, tiga pilihan berkenaan ialah pertamanya peneroka menerima bayaran kira-kira RM13,000 tetapi bayaran kembali (BK) mereka akan bertambah sebanyak RM650 sebulan. Sementara pilihan kedua ialah peneroka akan mendapat separuh iaitu sebanyak RM6,500 manakala jumlah BK ialah RM500 sebulan. "Cadangan yang dibuat oleh Najib itu jelas sekali cuba untuk menipu peneroka sebenarnya. Duit RM13,000 yang disimpan itu adalah potongan wang peneroka selama ini dan itu adalah hak mereka. Kenapa perlu ada bayaran kembali atas duit mereka sendiri", katanya. Muzamil telah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Presiden parti Tuan Guru Hj.Abd Hadi Awang dirumahnya malam tadi. Beliau yang juga merupakan pengasas UMNO selama lebih 25 tahun dan merupakan bekas Naib Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) menyerahkan borang berserta dengan 11 orang pemimpin UMNO cawangan terbabit. Difahamkan beliau juga adalah merupakan bekas Pembantu Khas kepada ADUN Kawasan Sanggang, Abdullah Kia dulu.



[Perkembangan ini jelas sekali memberikan satu kesan mendalam buat puak-puak UMNO BN, kerana Jengka 25 adalah kubu kuat BN sejak azali lagi. Kini pemimpin UMNO sudah mula melihat adanya kepincangan yang ketara dalam pentadbiran kerajaan pimpinan UMNO. Mereka sudah boleh belajar dari kesilapan lalu. Mahu projek sokong pembangkang dan bukannya sokong BN. Buktinya ialah apa yang dapat dilihat sekarang. Banyak projek mee segera ditaburkan kepada rakyat, biar pun berkali-kali pemimpin mereka menafikan ia bukan bertujuan untuk memancing undi. Terkadang sebagai rakyat kita merasa malu melihat tindakan sebegini. Apapun, syabas dan tahniah kita ucapkan kepada pemimpin UMNO terbabit atas keberanian beliau untuk membuat satu keputusan besar ini].


Read more: http://biaqpila.blogspot.com/2011/03/panas-tamparan-cukup-hebat-buat-umno-bn.html#ixzz1FRG5DVgR

Bob Lokman akui pernah diupah ganggu ceramah PAS


TEMERLOH, 2 Mac: Pelakon, pengacara dan penulis lirik lagu terkenal yang baru menyertai PAS, Bob Lokman, mengakui pernah diupah untuk mengganggu ceramah PAS pada waktu kempen pilihan raya tetapi kini sudah insaf.
Bob atau nama sebenarnya Muhammad Hakim Lokman, 47, ketika berceramah di majlis minum petang di Desa Murni sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau semalam berkata, beliau mohon maaf atas keterlanjurannya itu.

“Saya akui pernah ganggu ceramah PAS dalam kempen pilihan raya umum 2004 dan 2008 iaitu dengan mengadakan persembahan berdekatan ceramah PAS dan terima upah.

“Tapi itu semua kenangan dulu, sekarang saya sokong parti Islam yang mahu tegakkan hukum Allah. Saya jumpa beberapa pemimpin PAS dan minta maaf,” ujarnya.

Penulis lirik lagu terkenal seperti “Isabela” dan “Pada syurga di wajahmu” itu berkata, beliau mengambil keputusan keluar daripada rancangan Raja Lawak dan menyertai PAS tanpa dipengaruhi sesiapa.

“Barangkali keinsafan itu timbul setelah banyak mendengar kuliah Tuan Guru Nik Aziz. Tapi nampaknya tidak mudah juga apabila meninggalkan dunia glamour itu. Saya dihentam dengan tindakan sendiri.

“Ketika ini barulah saya mula terasa satu cabaran. Kalau tidak hidup saya happy tanpa merasakan sesuatu yang perlu diberi perhitungan,” kata cicit kepada tokoh Islam terkenal tanah air, Tok Kenali itu.

Bob menyertai PAS secara rasmi ketika menyerahkan borang keahlian semasa program Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS di Kedah bulan lalu.

Mengenai pergaulan barunya, Bob kerkata beliau nampak dalam PAS tidak ada protokol sangat.
“Semasa saya bergaul dengan orang Umno dulu, pemimpinnya jangan kata nak duduk di kalangan orang ramai, tempat nak sembahyang pun nak tempat elit... kecualilah bila tiba musim PRK macam ni,” tambahnya disambut gelak ketawa pendengar.

Mengenai masa depannya, Bob berkata beliau kini dalam proses belajar ilmu-ilmu agama dan bercita-cita untuk menjadi pendakwah pada masa depan.

Sebab saya percaya golongan muda mahukan Islam, sebab jiwa mereka mahukan keadilan, kebaikan dan kebebasan. Tetapi mereka tak faham tentang keadilan Islam atau tak diberitahu tentang kebaikan dan kebebasan dalam Islam.